SEJARAH SEKOLAH




SK Seri Keramat telah ditubuhkan pada 1 Januari 2001. Dengan tertubuhnya sekolah baru ini maka bertambahnya jumlah sekolah kebangsaan di dalam Daerah Maran pada masa itu. Sebelum dapat menduduki bangunan sekolah yang baru, SK Seri Keramat telah menumpang bangunan Sekolah Kebangsaan Maran (kini Bangunan Pusat Kegiatan Guru Maran) sebagai pusat pentadbiran dan pembelajaran serta pengajaran.
Buat permulaan tiga kelas telah dibuka dan mempunyai murid awalnya seramai 74 orang murid. Seramai 6 orang guru serta 3 orang pekerja telah bernaung di bawah bumbung SK Seri Keramat ini. Dengan diterajui oleh Pn. Hajah Temah Binti Ismail sebagai guru besar, SK Seri Keramat terus menuju arus pendidikan negara.
Pada 18 Februari 2002, satu peristiwa gilang-gemilang telah menjadi kenangan yang terindah kerana bangunan rasmi SK Seri Keramat sudah boleh beroperasi. Di tapak baru, sebanyak 4 buah kelas telah di buka dan jumlah murid telah bertambah ke angka 124 orang murid. Jumlah guru telah pun bertambah kepada 8 orang dan 5 orang pekerja.
Tahun berganti tahun, hari berganti hari, pada tahun 2005, peningkatan jumlah murid yang mendaftar di sekolah ini telah meningkat dan jumlah kelas juga bertambah kepada 6 buah kelas dan 1 pra sekolah telah di buka. Jumlah murid pada masa ini adalah 215 orang dan guru seramai 15 orang serta pekerja seramai 6 orang dan 2 orang pengawal keselamatan.
Pada bulan Disember 2008, peneraju utama SK Seri Keramat, Pn.Hajah Temah Binti Ismail telah berpindah ke SK Bukit Tajau. Setelah hampir 8 tahun  berkhidmat sebagai Guru Besar di SK Seri Keramat, banyak peranan, tanggungjawab serta jasa dalam memperkenalkan sekolah ini di mata masyarakat setempat dan luar telah diberikan. Segala jasa beliau dalam meningkat taraf sekolah ini akan sentiasa dihargai oleh setiap warga SK Seri Keramat sampai bila-bila.
Patah tumbuh hilang berganti, pengganti Guru Besar yang baru telah pun melaporkan diri pada Disember 2008. En. Muhamad Anua Bin Musop seorang Guru Besar yang berkarisma dan berkaliber telah menyertai SK Seri Keramat sebagi peneraju yang baru.
Pada tahun 2009, dengan kekuatan seramai 249 orang murid, 20 orang guru dan 3 orang staf sokongan serta 6 orang pekerja dan 3 orang pengawal keselamatan, diharapkan akan menjadi sumber inspirasi bagi peneraju bagi membentuk keperibadian SK Seri Keramat dalam menjana murid yang berintelek dan berakhlak mulia menjelang tahun 2010. 
Kepimpinan Cg Muhamad Anua Bin Musop sudah sampai ke penghujung bagi mengetuai SK Seri Keramat. Pada 07 Januari 2011, beliau telah diraikan sempena persaraan wajib beliau. Dengan Visi sekolah bagi menjadi sekolah berwatak dan cemerlang pada 2012, beliau meninggalkan SK Seri Keramat dengan kejayaan dalam UPSR 2010 dengan 7 orang mendapat 5A dan peratusan sekolah meningkat kepada 87.5%. Segala jasa dan bakti yang ditaburkan akan sentiasa di ingatan kami warga SK Seri Keramat.
Patah tumbuh hilang berganti, setelah Cg Muhamad Anua Bin Musop bersara wajib, tempat beliau telah dipangku oleh GPK Pentadbiran, Cg Noorlela Binti Ismail selama sebulan sebelum menerima guru besar yang baru.
Pada 01 Februari 2011, satu berita gembira telah diwar-warkan bahawa SK Seri Keramat telah mendapat guru besar yang baru. Beliau ialah Cg Zainuri Bin Mat Atar yang mana merupakan pengemudi baru bagi SK Seri Keramat. Beliau sebelum ini merupakan seorang pegawai Unit Perbekalan dan Pembangunan PPD Maran. Tahniah atas pertukaran beliau ke SK Seri Keramat. Semoga kejayaan sekolah menjadi tonggak utama dalam pentadbirannya di masa mendatang.
Banyak kemudahan prasarana yang telah dibawakan oleh Cg Zainuri Bin Mat Atar sepanjang tahun 2011 hingga kini. Semua idea-idea yang dibawakan oleh Tuan Guru Besar disambut baik oleh semua guru dan staf di SK Seri Keramat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan